PRN Sabah: Tiada rundingan BN-GRS

11 hours ago 4

SHAH ALAM – Tiada rundingan secara langsung melibatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Perkara itu disahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan mengakui perkara yang telah dimuktamadkan adalah antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sahaja.

Katanya, setakat ini perundingan yang telah dipersetujui adalah bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan pertindihan kerusi antara BN dan PH.

“Yang telah dimuktamadkan adalah BN-PH. Kita menghormati PH-GRS. Tiada rundingan secara langsung di antara BN dengan GRS.

“Namun saya rasa kerana terlalu banyak parti-parti baharu di Sabah yang mahu menyertai PRN kali ini. Sudah tentunya pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan.

“Mungkin hingga lapan penjuru. Itu terpulang kerana itu adalah landskap politik di Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor-Sispa) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan gabungan besar PH-BN-GRS yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah disifatkan sebagai sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

GRS menuntut sekurang-kurangnya 70 kerusi daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Mengulas mengenai notis bantahan berhubung penerimaan ahli dari parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan ia merupakan keputusan Majlis Tertinggi UMNO.

“Kita telah nyatakan dari dahulu bahawa parti-parti di dalam komponen kerajaan Perpaduaan tidak seharusnya menerima mana-mana ahli daripada mana-mana parti untuk menyertai parti masing-masing.

“Ini harus dihormati dan merupakan konvensyen yang harus dihormati. (Sudah dihantar notis itu) ia sedang disediakan tetapi saya telah nyatakan secara verbal kepada Presiden parti berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |