Pingat gangsa bakar semangat ke Sukan SEA

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Atlet lompat jauh kebangsaan, Nurul Ashikin Abas menganggap kejayaan pingat gangsa Kejohanan Silk Road to Tokyo di Tashkent, Uzbekistan semalam menjadi pembakar semangat untuk merebut tiket kategori A ke Sukan SEA Thailand 2025.

Jarak 5.46 meter (m) dilakukannya masih belum cukup untuk mengatasi catatan pemenang tempat ketiga Sukan SEA Kemboja 2023, 6.02m dimenangi Bui Thi Loan dari Vietnam.

Ia bermakna Ashikin, 25, perlu terus berusaha mencapai jarak berkenaan atau melepasi jarak 13.46m bagi lompat kijang sekali gus memerlukannya melakukan rekod peribadi terbaik dalam kedua-dua acara tersebut.

“Saya sangat bersyukur diberi kepercayaan. Ini adalah satu pencapaian peribadi baharu saya kerana sebelum ini saya berjaya ke final Sukan Universiti Dunia di Jerman.

ASHIKIN berharap dapat melepasi syarat kelayakan kategori A pada Terbuka Malaysia hujung bulan ini.

“Kalau ikutkan catatan saya masih belum layak ke Sukan SEA tetapi saya tidak akan mengalah. Saya akan terus berusaha mencabar diri dan cuba lakukan di Terbuka Malaysia hujung bulan ini.

“Saya sedar ada banyak lagi aspek boleh diperbaiki dan harapan agar dapat berikan prestasi lebih baik di Terbuka Malaysia nanti,” kata Ashikin.

Atlet berasal dari Perak itu berjaya ‘menyelinap’ menaiki podium tempat ketiga pada lompatan keenamnya dengan catatan 5.87m, hanya 0.01m mengatasi rakan senegara, Maritza Ferrer Neil Armstrong yang terpaksa akur di tempat keempat menerusi jarak 5.86m.

Pingat emas dan prak dimenangi dua wakil tuan rumah, Sharifa Davronova (6.14m) serta Roksana Khudoyarova (5.97m).

ASHIKIN (kanan) bergambar bersama pemenang pingat emas dan perak Kejohanan Silk Road to Tokyo di Tashkent semalam.

Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim memuji prestasi Ashikin yang pernah menjuarai Kejohanan Olahraga Terbuka Hong Kong 2025 dan pingat perak Sukan Universiti ASEAN (AUG) Indonesia 2024.

“Ini adalah pengalaman yang baik untuk membantu run-up Ashikin supaya dia boleh bersedia lebih baik untuk acara lompat kijang.

“Biasanya dia akan berikan prestasi bagus dalam kejohanan antarabangsa dan ia membuktikan persediaan mentalnya dalam keadaan yang terbaik,” jelasnya.

Sebagai rekod, Ashikin mempunyai rekod peribadi 5.92m bagi lompat jauh dan 13.44m untuk acara lompat kijang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |