
- Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
- 17 Ogos 2025, 2:42 pm
SEGALANYA seakan sudah berakhir buat UM-Damansara United dalam saingan Piala FA kali ini setelah tewas 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pusingan pertama yang berlangsung malam tadi
Bagaimanapun, pengendalinya, Ridzuan Abu Shah tetap bersemangat dan tidak sabar menunggu aksi timbal balik biarpun sedar tidak mungkin dapat mengubah nasib mereka, namun misi yang tinggal adalah untuk merobek gawang pasukan juara bertahan itu.
“Soal menang atau kalah, itu adalah perkara kedua. Hasrat saya untuk pertemuan kedua nanti adalah untuk sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol.
“Pada minggu ini, seorang lagi pemain import yang beraksi di bahagian serangan akan menyertai pasukan, jadi kami akan membuat persiapan untuk liga (A1 Semi Pro) dan juga perlawanan menentang JDT.
“Perlawanan ini penting bagi mengukur kekuatan kami ketika berdepan dengan pasukan hebat seperti JDT, saya nak lihat cara UM-Damansara United dapatkan GOL dalam perlawanan itu nanti,” katanya selepas perlawanan.