
- Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI
- 17 Ogos 2025, 11:45 pm
PETALING JAYA – Pasukan Penang FC akhirnya melakar kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan Melaka FC 2-0 pada aksi pusingan 16 pertama Piala FA di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.
Sebagai rekod, perlawanan itu adalah yang kedua buat kedua-dua pasukan dalam tempoh yang singkat selepas terikat 1-1 ketika aksi Liga Super di venue yang sama pada Rabu lepas.
Status selaku pasukan pelawat tidak menghalang skuad Harimau Kumbang untuk meraih bekalan positif apabila meraih kemenangan hasil jaringan berganda Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-48 dan ke-81.
Keputusan itu cukup penting apabila meringankan tekanan ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail selepas pasukan gagal menang dua perlawanan sebelum ini.
Sementara itu, skuad Imigresen FC (IFC) selangkah menempah tiket suku akhir Piala FA selepas melakar kejutan menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 di Stadium Negeri, Batu Kawan petang tadi.
TFC terlebih dahulu meledak gol pertama hasil penyudah Yann Mabella pada minit ke-49 tetapi tonggak import tuan rumah, Rafael Iserhard Holstein menyamakan kedudukan berselang lima minit kemudian.

Ketika kedua-dua pasukan dilihat hampir terikat dengan keputusan seri, Joao Pedro muncul wira skuad IFC apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.
Aksi kedua pusingan 16 terbaik dijadualkan berlangsung pada 14 September depan. – KOSMO! ONLINE