PARIT – Bekas pegawai waran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd. Jamil Ahmad, 64, menceburi bidang penternakan air tawar iaitu ikan patin dan tilapia merah sejak 12 tahun lalu kerana keterujaannya terhadap aktiviti berkaitan air, terutamanya laut dan sungai.
Pesara itu kini begitu tekun mengusahakan enam sangkar ikan di Kampung Ekor Lambat dalam Sungai Perak yang belum tercemar dan sesuai untuk penternakan ikan berkualiti tinggi.
“Ternakan ikan air tawar dalam Sungai Perak sebenarnya berpotensi besar kerana kerana rasanya sangat enak dan tidak hanyir untuk dinikmati oleh penggemarnya.
“Air sungai secara semulajadi bersih dan mempunyai sifat mineral tersendiri yang dapat membantu ikan patin dan tilapia merah membesar dengan sempurna,” katanya kepada Kosmo! di sini, baru-baru ini.
Katanya, ternakan dalam sungai membantu mengurangkan pergantungan kepada pelet kerana ketersediaan makanan semulajadi, selain sangkar sentiasa dalam keadaan bersih dan terkawal secara konsisten.
“Ikan patin memerlukan masa selama lapan bulan untuk mencapai saiz ideal iaitu 1.6 kilogram, sementara tilapia merah pula sekitar empat bulan bagi mencapai berat 600 gram.
“Saya mampu memperoleh pendapatan bersih sekitar RM3,500 sebulan hasil jualan ikan terutama kepada penduduk kampung dan daerah ini, malah menjangkau sehingga ke Pahang, Kuala Lumpur serta Selangor,” jelasnya.

Mohd. Jamil berkata, usahanya itu turut membantu menjana ekonomi setempat menerusi jualan ikan segar di pasar-pasar berdekatan yang memberi peluang kepada peniaga menambah pendapatan.
“Jabatan Perikanan dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) banyak memberi bantuan dengan menarik taraf kawasan ini dengan jalan tar, pemasangan lampu jalan solar serta pembinaan landas bot bagi memudahkan urusan seharian.
“Program Skim Usahawan Negeri Perak melalui tawaran Pinjaman Tanpa Faedah Perak SADC yang diperoleh sebanyak RM43,000, dengan bayaran kompetitif RM700 sebulan juga banyak membantu untuk membeli tong ikan serta baik pulih struktur besi sangkar yang rosak terutama pada musim tengkujuh,” katanya.
Ujarnya, pegawai Perak SADC sering melawat termasuk menasihatinya mengenai penggunaan teknologi inovatif seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) untuk penternakan ikan secara pintar.
Beliau mempunyai peralatan khas untuk mengetahui kadar pH air Sungai Perak yang ideal iaitu bacaan 6.5 hingga 8.5 yang meminimumkan kematian ikan, memastikan tumbesaran lancar dan mengurangkan risiko penyakit.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Perak Tengah sebagai Koridor TVET Malaysia yang disasarkan menjadi pusat institusi ilmu dan pertanian moden.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar.