KAJANG – Misteri penemuan seorang bayi perempuan berusia kurang seminggu di dalam kotak berhampiran bangunan kedai di sebuah stesen minyak di Batu 14, Hulu Langat pada Ahad lalu, terbongkar apabila polis menahan tiga individu termasuk pengadu sendiri.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu dilaporkan kira-kira pukul 1.56 pagi oleh seorang pengawal keselamatan tempatan berusia 29 tahun yang mendakwa menemui bayi berkenaan dalam keadaan masih bernyawa.
“Bayi perempuan itu dihantar ke hospital untuk pemantauan dan didapati berada dalam keadaan sihat. Namun, siasatan lanjut mendapati laporan tersebut adalah rekaan pengadu.
“Susulan maklumat dan risikan, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 16 hingga 39 tahun pada 12 Ogos lalu, kira-kira pukul 5.35 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, siasatan mendedahkan pengadu bersubahat dengan seorang rakan lelaki berusia 39 tahun, yang juga penghantar barang, melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya berusia 16 tahun sehingga melahirkan bayi tersebut.
“Remaja perempuan itu disahkan pernah dirogol oleh bapanya sendiri, yang turut ditahan bersama pengadu. Mereka dipercayai terlibat dalam perbuatan membuang dan menyembunyikan kelahiran bayi berkenaan,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod lampau melibatkan masing-masing dua kes dadah dan dua kes jenayah.
Susulan itu, mereka direman selama satu dan enam hari, manakala wanita berkenaan diberi jaminan polis dan ditempatkan di hospital untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-636 9835 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE