
- Oleh MOHD. FAHMI ISMAIL
- 12 Ogos 2025, 9:51 pm
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pengarah sebuah syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan perjalanan dan pembelian pendingin hawa berjumlah kira-kira RM33,000.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 1 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2022 hingga 2023.
“Suspek dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan perjalanan dan pembelian pendingin hawa bernilai keseluruhan kira-kira RM33,000 sedangkan kedua-dua perkara itu tidak dilaksanakan,” katanya.
Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE