Penganggur didakwa bunuh bapa dengan kerusi kayu

17 hours ago 5

KUALA KRAI – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya menggunakan kerusi kayu di Kampung Kuala Gris di sini pada minggu lalu.

Tertuduh, Narosman Othman, 39, hanya mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Othman Jusoh, 74, di sebuah rumah di Kampung Kuala Gris di sini kira-kira pukul 6 pagi hingga 6.30 pagi pada 6 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd. Hafiz Iman Asri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes selain memerintahkan Narosman dihantar bagi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagian Tanjung Rambutan, Perak.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu dan hanya berdiam diri tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan kerusi kayu oleh anaknya ketika sedang menunaikan solat subuh dalam kejadian di Kampung Kuala Gris di sini pada 6 Ogos lalu.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, Othman meninggal dunia di rumah tersebut akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

Menurutnya, lelaki itu merupakan bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai selepas ditahan atas kesalahan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |