Pendakwaan Sabah telah buat permohonan inkues, kes Zara Qairina disebut esok

7 hours ago 3

PUTRAJAYA – Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu agar suatu inkues diadakan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataannya sebentar tadi menyatakan prosiding inkues itu selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593)

“Jabatan ini merujuk kepada Kenyataan Media Jabatan Peguam Negara bertarikh13 Ogos 2025 mengenai keputusan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya. Mahkamah Koroner Kota Kinabalu telah menetapkan satu tarikh sebutan pada hari esok, (Isnin, 18 Ogos 2025) bagi menetapkan tarikh-tarikh pendengaran inkues tersebut.

“Memandangkan kes ini adalah suatu kes yang berkepentingan awam, Jabatan ini akan memohon agar permohonan kes ini dipercepatkan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan demi kepentingan masyarakat umum,” kata kenyataan itu.

Sebelum AGC dalam satu kenyataan memutuskan agar satu prosiding inkues dijalankan berhubung kes kematian Zara Qairina.

Keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti laporan siasatan dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana ia akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang

Terdahulu AGC dalam kenyatannya juga telah mengarahkan supaya kubur pelajar itu digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas remaja tersebut.

Kata kenyataan itu, terdapat keperluan supaya siasatan lanjut diambil oleh PDRM bagi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu meninggal dunia 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |