Pembeli rumah rugi RM43.7 juta, skim GRR didakwa perangkap pelabur

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan sebanyak 69 pembeli rumah mendakwa menjadi mangsa skim Pulangan Sewa Terjamin (GRR) melibatkan nilai belian keseluruhan mencecah RM43.7 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, skim berkenaan pada awalnya menjanjikan pembeli pulangan sewaan antara lapan hingga 12 peratus setahun menerusi perjanjian pengurusan hartanah bersama syarikat tertentu.

Namun katanya, selepas menandatangani beberapa perjanjian termasuk irrevocable power of attorney, ramai pembeli bukan sahaja gagal menerima pulangan dijanjikan, malah kehilangan hak kawalan terhadap rumah mereka.

“Masalah besar yang timbul ialah pembeli terperangkap. Rumah tidak boleh diduduki kerana diuruskan oleh syarikat pengurusan, sewaan pula tidak dibayar. Pada masa sama, mereka tetap perlu membayar komitmen pinjaman bulanan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO, Megan Avenue 1 di sini hari ini.

Menurutnya, skim GRR ini berbeza dengan pembelian rumah biasa kerana selain Perjanjian Jual Beli (SPA), pembeli turut menandatangani perjanjian pengurusan serta dokumen kuasa wakil mahkamah yang memberi syarikat hak penuh terhadap unit kediaman.

Lebih membimbangkan, jelas Hishamuddin, syarikat yang menawarkan skim GRR itu kebanyakannya menggunakan syarikat kenderaan tujuan khas (SPV) yang tidak berlesen pemaju dan tidak mempunyai aset kukuh.

“Kalau pembeli saman sekalipun, mereka mungkin menang di mahkamah tetapi gagal menuntut apa-apa kerana syarikat tersebut tidak beraset. Jadi mereka buntu, komitmen kena bayar tetapi tiada jalan keluar,” katanya.

Sehubungan itu, MHO telah membawa aduan mangsa ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di KL Sentral untuk diteliti oleh bahagian aduan dan dihantar kepada unit siasatan.

“Kami juga meminta mempercepatkan siasatan serta menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara bagi menentukan sama ada skim GRR ini tergolong di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 atau tidak,” tegasnya.

Hishamuddin berkata, jika skim GRR disahkan sebagai skim kepentingan tetapi penganjur gagal mendaftar dengan SSM, ia merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM50 juta, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, deposit yang diterima juga boleh dianggap deposit haram di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan, manakala sebarang pemindahan wang berkaitan boleh disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla).

MHO turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420, 403 dan 405 Kanun Keseksaan, selain mendesak Bank Negara Malaysia turut meneliti aspek kutipan deposit yang dikhuatiri dilakukan secara haram.

“Jika dibiarkan tanpa pemantauan, skim GRR ini berisiko menjadikan lebih ramai pembeli rumah muflis kerana terpaksa menanggung pinjaman tanpa pulangan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |