KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara bakal menurunkan barisan terkuat ke Sukan Sea Thailand 2025 untuk membawa pulang sebanyak mungkin kilauan pingat emas.
Ketua jurulatih beregu kebangsaan, Rexy Mainaky menegaskan negara jiran seperti tuan rumah, Thailand dan Indonesia bakal menghantar skuad elit ke temasya dua tahun sekali itu.
Bagaimanapun, Rexy menjelaskan pemilihan barisan pemain ke Bangkok masih belum dimuktamadkan, namun menafikan laporan kononnya jadual Sukan SEA bertembung dengan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).
“Tiada pertembungan jadual dan sebab itu Thailand boleh hantar pasukan terkuat, malah Indonesia juga pasti turun dengan skuad penuh.
“Kita juga perlu pastikan mampu mencabar mereka untuk membawa pulang pingat emas,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA 2025 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.
Menurut Rexy, beberapa pemain utama seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi masih berada dalam senarai, namun keputusan akhir bergantung kepada perbincangan bersama barisan jurulatih.
“Pandangan pemain seperti Aaron yang mahu beri peluang kepada muka baharu kita hargai, tapi keputusan akhir dibuat selepas menilai kekuatan keseluruhan pasukan,” jelasnya.
Tambah Rexy, skuad negara dijangka menurunkan 20 pemain yang terdiri daripada 10 lelaki dan 10 wanita dengan pengumuman rasmi akan dibuat beberapa hari lagi sebelum berangkat ke Kejohanan Dunia di Paris, Perancis bermula 25 Ogos ini.
Sebagai rekod, sewaktu di Sukan SEA Kemboja, Malaysia gagal meraih sebarang emas dalam acara badminton dengan hanya meraih 2 perak (beregu campuran dan berpasukan lelaki) serta empat gangsa (perseorangan lelaki dan beregu wanita). – KOSMO! ONLINE