PETALING JAYA – Jaguh lompat jauh kebangsaan, Andre Anura Anuar berpeluang untuk memperbaharui rekod Malaysia dalam acara itu apabila turun bersaing di Kejohanan Silk Road to Tokyo di Tashkent, Uzbekistan malam ini.
Jelajah Benua Olahraga Dunia bertaraf gangsa itu juga merupakan platform buat Andre untuk layak ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025 yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun bulan depan.
Untuk layak, Andre, 26 perlu melepasi had kelayakan ditetapkan, 8.27 meter (m), memerlukannya memadam rekod kebangsaan, 8.09m diciptanya sewaktu Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana ini adalah kali kedua atlet dari Tenom, Sabah itu beraksi dalam acara lompat jauh tahun ini selepas Siri Cahya Mata di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Mei lalu menyaksikannya merekodkan catatan 7.43m.
Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim tidak meletakkan sasaran tinggi tetapi mengharapkan prestasi terbaik daripada Andre dan juga empat atlet lompatan lain yang turut mengambil bahagian di Tashkent.

“Kita kena ambil ruang dan peluang ini untuk bersaing dengan atlet-atlet yang sedang mengumpul mata ke Kejohanan Dunia. Dalam masa sama ia menjadi persediaan mental buat atlet.
“Kalau katakan bagus di kejohanan ini, maknanya kita boleh tangani tekanan semasa di Sukan SEA Thailand 2025 nanti.
“Tahap kejohanan lompatan di sini tinggi sebab ada juara Asia, juara Sukan Universiti Dunia, atlet-atlet dalam kelompok 10 terbaik Asia. Kita tak jangkakan apa-apa tetapi harapkan aksi terbaik,” katanya.
Selain Andre, dua lagi atlet lompat jauh wanita negara, Nurul Ashikin Abas dan Maritza Ferrer Neil Armstrong juga akan turun bersaing malam ini.
Keesokannya, Andre akan sekali lagi turun ke gelanggang, kali ini untuk lompat kijang selain Norliyana Kamaruddin dan Yap Sean Yee bagi acara lompat tinggi. – KOSMO! ONLINE