Pelawak legenda Mat Sentol dibantu

2 hours ago 2

JOHOR BAHRU – Kesukaran hidup yang dilalui keluarga pelakon dan pelawak legenda tanah air era 1950-an, Mat Sentol, 92, atau nama sebenarnya, Abdul Rasip Yahya mendapat perhatian kerajaan negeri yang sedia membaik pulih kediaman seniman itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, kediaman seniman veteran yang terletak di Larkin itu kini didiami bersama anak lelakinya yang berusia 63 tahun.

Menurut beliau, anak lelaki­nya itu tidak pernah berkahwin kerana memberi tumpuan menjaga ayahnya yang uzur dan terlantar sepanjang masa.

“Penama ini tidak lagi bekerja sejak 2020 dan memberi tum­puan menjaga ayahnya sepenuh masa selepas seniman itu dima­sukkan ke hospital akibat Co­vid-19 sebelum ini.

“Tanggungjawab besar ini dipikul dengan penuh sabar sambil dibantu tiga adik-beradik lain yang masing-masing telah berkeluarga dan tinggal berasingan.

“Dia ketika ini menerima sumbangan kira-kira RM500 sebulan bagi menampung keperluan asas harian mereka” katanya selepas menyantuni seniman legenda tersebut di kediamannya, di sini semalam.

Tambah Khairin-Nisa, penama telah diluluskan Bantuan Penjaga­an OKU atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) berjumlah RM500 sebulan.

Bagaimanapun katanya, kos penjagaan bapanya kini melebihi RM2,000 sebulan melibatkan keperluan harian seperti lampin pakai buang, ubat, susu khas serta makanan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor akan mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi membaik pulih rumah mereka yang agak uzur selain mendapatkan bantuan lampin pakai buang,” katanya.

Pelawak lagenda era 1950-an, Mat Sentol pernah menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia sempena Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU).

Mat Sentol yang terkenal dengan watak Mat Bond telah menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia sempena Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) pada 2023 lalu.

Antara filem dibintanginya termasuklah Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic. Beliau juga aktif menyumbang suara dalam penyiaran iklan televisyen dan radio seperti Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo.

Read Entire Article
Pertanian | | | |