Pelajar undang-undang didakwa bakar rumah, sebabkan kematian warga emas

6 hours ago 6

SEGAMAT – Seorang pelajar jurusan undang-undang sebuah universiti swasta di Lembah Klang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian warga emas, khianat dengan api dan ugutan jenayah.

Tertuduh, Chew Hong Joe, 21, yang juga penuntut tahun dua, berhadapan lapan pertuduhan keseluruhan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Rahimah Abd Majid dan Majistret Dhilip Nair Atchuthan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kematian wanita warga emas, Tan Ah Gek, 72, di sebuah rumah di Jalan Francis Khoo, Kampung Bukit Siput, di sini, pada pukul 4 pagi, 25 Julai lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api menggunakan petrol ke atas lima buah rumah mangsa berusia 42, 46, 72, 75 dan 77 tahun dengan semua kejadian itu berlaku di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, Harcharanjit Singh.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius dan tidak boleh dijamin selari dengan Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Sementara di Mahkamah Majistret, Hong Joe berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah melalui notis ditampal pada pagar rumah dua individu berusia 49 dan 54 tahun.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan terhadap rumah ibadat dan pagar di Jalan Francis Khoo, Kampung Bukit Siput dan Taman Ria, di sini, pada pukul 4 dan 6.45 pagi.

Seksyen 507 pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Majistret Dhilip Nair Atchuthan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Dalam prosiding ini, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |