Pelaburan RM30,000 buahkan hasil

6 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Peserta tempatan, Abdullah Umar Idris menjadi pelari Malaysia terbaik apabila menamatkan Kejohanan Duathlon Jarak Jauh Titan 77.7 semalam di tempat kedua keseluruhan.

Pada kejohanan yang berlangsung di Pantai Morib, Selangor itu, Abdullah berjaya menamatkan saingan merangkumi larian sejauh 4 kilometer (km), berbasikal (100km) serta berlari di pinggir pantai (21km).

Pengorbanan yang dilakukan termasuk berbelanja hampir RM30,000 bagi membeli basikal baharu sebagai persiapan menghadapi kejohanan tersebut dianggap berbaloi kerana dapat menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik.

“Ia satu kejohanan yang sangat mencabar. Acara berbasikal memang benar-benar menguji kemampuan tetapi saya cuba untuk mengawal penggunaan tenaga kerana perlu digunakan bagi acara larian.

“Cuaca cukup lembap dan saya terpaksa mengambil air di setiap ‘checkpoint’ untuk membasahkan diri. Saya bernasib baik kerana tidak mengalami kejang otot selepas memaksa diri ke tahap maksimum.

“Saya mula berlari sejak tiga bulan yang lalu dengan sasaran untuk menang sehingga saya berbelanja hampir RM30,000 bagi membeli basikal. Selepas ini, saya mahu berkecimpung secara serius,” katanya yang mencatat masa 4 jam 29 minit 24 saat (s).

Pemenang bagi acara tersebut adalah pelari dari Filipina, Raymund M. Torio yang melakukan catatan 4’28:12s manakala tempat ketiga menjadi milik seorang lagi peserta tempatan, Mohd. Hafidz Abd. Hamid (4’35:10s).

Bagi kategori wanita, pelari Singapura, Evangeline Tan muncul pemenang selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 5’20:24s diikuti dua peserta Malaysia, Nor Adzura harun (6’13:29s) dan Arina Adzahar (6’31:12s).

Sementara itu, semua pemenang akan dibawa menyertai kejohanan Titan 77.7 di Filipina yang berlangsung pada 5 Oktober depan dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |