Pegawai penyiasat kes Zara Qairina gagal patuh SOP

13 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap pegawai penyiasat dan Ketua Bahagian yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung siasatan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan oleh mendapati terdapat ketidakpatuhan SOP pegawai penyiasat tidak membuat permohonan bedah siasat pada peringkat awal, meskipun terdapat unsur kematian luar biasa.

“Siasatan sedang berjalan dan tindakan tegas akan diambil (kepada pegawai terlibat). Tidak akan ada sebarang ‘cover up’ dalam kes ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, perkara itu berlaku selepas ibu mangsa membuat permohonan agar bedah siasat tidak dilakukan dan ditandatangani dalam satu dokumen di hospital yang turut disahkan oleh doktor, pakar patologi dan pegawai penyiasat terlibat.

Bagaimanapun, selepas perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara dan pihak polis memohon bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos lalu di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu yang disertai tiga doktor termasuk seorang dari Hospital Serdang.

Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di HQE, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.

Kematian remaja itu mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan buli.

Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat menggesa siasatan yang telus, adil dan saksama terhadap kematian anak perempuannya.

Pada Sabtu lalu, mayat Zara Qairina digali semula dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat dan dikebumikan semula pada keesokkan harinya di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |