PASUKAN ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan sasaran tinggi untuk melakar kejuaraan hatrik Piala Agong musim ini dengan mengekalkan resipi gabungan pemain tempatan dan empat import Fiji.
The Blues yang menamatkan kemarau 31 tahun pada edisi 2023, berazam untuk meneruskan dominasi mereka dalam saingan ragbi berprestij negara menjelang saingan berlangsung dari 6 September hingga 25 Oktober depan.
Setiausaha PDRM, Asisten Superintendan Mohamad Hafiz Ahamad berkata, tiga daripada tonggak import itu sudah tiba di tanah air, manakala seorang lagi akan dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan persiapan pasukan.
“Tahun ini kami ambil empat import dari Fiji dengan tiga sudah berada di sini dan seorang lagi akan diputuskan kelak.
“Seorang daripadanya adalah pemain hadapan yang beraksi cemerlang bersama kita musim lalu,” katanya ketika ditemui pada mesyuarat pengurus pasukan menjelang kejohanan tersebut.
Selain import Fiji, PDRM mengekalkan khidmat enam pemain kebangsaan serta beberapa tonggak berpengalaman yang membantu pasukan mara ke perlawanan akhir dua edisi sebelum ini.
Menyedadi cabaran sengit menanti, terutama Johor yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang, Hafiz berkata, PDRM akan mengambil pendekatan realistik dan fokus pada setiap perlawanan.
“Kita tidak boleh nafikan usaha yang dilakukan oleh Johor dengan suntikan TMJ (Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail) dan penglibatan legenda seperti Sonny Bill Williams.
“Kita tahu kualiti mereka, namun kita akan fokus pada kekuatan pasukan sendiri, menilai kelemahan dan akan menempuhi satu demi satu perlawanan,” jelasnya.
Selain memburu gelaran hatrik, PDRM juga berhasrat mencipta rekod unik dengan mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dicatat pada kempen 2023 dan 2024. – KOSMO! ONLINE