Pahang tumpaskan Selangor 2-1

15 hours ago 7

KUANTAN – Bekas pemain kebangsaan, Azizul Kamaludin muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Pilihan Pahang bangkit menewaskan Pilihan Selangor 2-1 dalam aksi legenda sempena Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah di Stadium Darul Makmur di sini malam semalam.

Perlawanan yang disaksikan lebih 30,000 penyokong itu berlangsung dalam suasana meriah apabila kedua-dua pasukan dibarisi beberapa bekas pemain ternama yang pernah mewarnai arena bola sepak negara.

Selangor bermula garang apabila berjaya membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi rembatan padu Mahali Jasuli ke gawang Pahang.

Jaringan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat skuad Tok Gajah yang terus melancarkan serangan ke kubu lawan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Usaha berterusan pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-19 apabila pemain Selangor, Fittri Syazwan tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan ancaman daripada kawasan bahaya sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan dengan beberapa percubaan berbahaya berjaya dicipta, namun keputusan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, pemain legenda, Azizul Kamaludin muncul wira Tok Gajah apabila menyempurnakan peluang pada minit ke-33 babak kedua untuk meletakkan Pahang di hadapan buat kali pertama dalam perlawanan tersebut.

Jaringan itu nyata membakar semangat pemain Pahang yang kemudian berjaya mempertahankan kelebihan tersebut sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Kemenangan itu melengkapkan malam penuh bermakna buat bola sepak Pahang apabila ribuan penyokong kembali membanjiri Stadium Darul Makmur bagi menyaksikan pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah yang julung kali dianjurkan.

Perlawanan berprestij itu turut menyaksikan Pahang dibarisi beberapa bekas pemain terkenal seperti Azamuddin Akil, Hafiz Kamal, Fauzi Roslan, Muhammad Gopi Rizqi dan Azidan Sarudin, manakala Selangor mempertaruhkan khidmat Rizal Fahmi, K. Gurusamy, Asraruddin Putra dan Nizaruddin Yusof.

Majlis pelancaran liga berkenaan telah disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |