PETALING JAYA – Seorang ejen jualan kereta memuji pelanggannya dari Kelantan yang rata-rata disifatkan sebagai baik hati, selain melayannya seperti tetamu setiap kali menghantar kereta di negeri Pantai Timur itu.
Menerusi hantaran dimuat naik seorang pengguna Thread wanfikri232, lelaki tersebut mengakui sering mendapat layanan yang baik daripada pelanggannya di negeri tersebut, termasuk dihidangkan makanan sebelum pulang semula ke Lembah Klang.
“Saya selalu hantar kereta luar Lembah Klang, dalam banyak negeri kat Semenanjung Malaysia, saya suka hantar kat Kelantan. Kenapa Kelantan? Dari Petaling Jaya ke Kelantan saya ambil masa tujuh jam hingga lapan jam.
“Pelanggan dari Kelantan faham penat perjalanan, biasa lepas serah kereta, mereka akan hidang makanan. Diorang betul-betul layan saya sebagai ‘tetamu’ mereka.
“Pada masa sama, mereka akan tawarkan saya hantar ke terminal bas sebab diorang tahu saya bukan orang Kelantan. Padahal Grab ada,” katanya pada hantaran berkenaan.
Katanya, bukan setakat hidangan makanan, malah dia pernah menerima wang saku daripada pelanggannya.
“Ada sesetengah pelanggan siap hulur duit, eh melawan hukum alam ni,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas terutama daripada pengguna Thread dari negeri Kelantan, malah ada juga berkongsi pengalaman mereka sewaktu datang ke rumah pelanggan untuk melaksanakan kerja.
“Saya pergi ‘repair’ kenderaan rumah pelanggan, dia hidang makan macam kita ni anak dia. Siap tanya lagi, esok datang lagi tak. Lauk ni makan tak?,” kata seorang pengguna Thread.
“Saya ada ramai kawan Kelantan dan diorang memang baik-baik,” kata seorang lagi individu.
“Orang Kelantan memang gitulah, tak boleh masuk rumah diorang tak makan. Mesti kena makan nasi juga, walaupun dengan budu ikan masin saja. Saya duduk negeri luar dulu-dulu pun, orang cakap nak singgah jumpa. Ziarah lepak kopi-kopi pun, saya suruh juga makan nasi. Tak banyak, sikit pun jadilah, tetamu membawa rahmat Allah,” ujar seorang lagi pengguna Thread. – KOSMO! ONLINE