Op Sohor: SPRM dapatkan laporan sulit daripada Mindef

7 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan maklumat daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi membantu siasatan kes penyeludupan yang didalangi pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sebelum ini telah menahan lima pegawai kanan ATM terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kebanyakannya berpangkat leftenan kolonel.

Menurutnya, mereka merupakan pegawai risikan yang mendapatkan maklumat berhubung keselamatan dan isu penyeludupan dan disyaki telah membocorkan maklumat ini kepada penjenayah.

“Panglima ATM sudah memberikan sokongan tang memudahkan kerja SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Sudah tentu kita akan pergi kepada Mindef bagi mendapatkan beberapa laporan sulit berkaitan individu yang ditahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Persidangan Meja Bukat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025 di Asian Institute of Chartered Bankers, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya juga akan melakukan semakan berkaitan penyata dan rekod kewangan terhadap lima pegawai berkenaan.

Semalam, media melaporkan SPRM berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor.

Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 sehingga 55 tahun ditangkap di sekitar Lembah Klang.

Katanya, siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup.

Mereka juga disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barangan lain dari negara jiran ke Malaysia membabitkan jumlah kira-kira RM5 juta sebulan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |