KUALA LUMPUR – Seorang daripada lima pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Serbuan Suruhanjaya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Sohor, semalam, dikesan terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu diperoleh hasil rampasan dadah dan penahanan 10 individu dalam serbuan yang dijalankan di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, operasi tersebut turut dilaksanakan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
“Seperti saya nyatakan sebelum ini, kami sudah ada maklumat, mereka mungkin terlibat dalam hal berkaitan dengan dadah.
“Sebab itu dalam operasi semalam, SPRM bawa JSJN untuk terus ambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar Program Persidangan Meja Bukat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025 di Asian Institute of Chartered Bankers, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan kini sedang dijalankan pihak polis berhubung rampasan dadah terbabit.
“Mereka disyaki terlibat dengan sindiket yang dipanggil tokan dadah. Mungkin dadah itu digunakan untuk diri sendiri dan mengedar,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JSJN, Datuk Hussin Omar Khan berkata, sebanyak 1.3 kilogram (kg) dadah bernilai RM30,000 dirampas dalam serbuan tersebut.
Katanya, rampas membabitkan 70 peket serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 1.1 kg, kanabis (92 gram), ketamin (22 gram), cecair MDMA (64 gram) serta ekstasi (0.6 gram).
“Seorang pegawai ATM dan tiga orang awam disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Semalam, media melaporkan SPRM berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor.
Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 sehingga 55 tahun ditangkap di sekitar Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE