Mualaf ditemui meninggal dalam kereta selepas 9 hari peluk Islam

3 hours ago 1

PETALING JAYA – Hasrat seorang mualaf untuk menghalalkan tunangnya tidak kesampaian apabila ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di Cyberjaya pada 19 Julai lalu.

Menerusi hantaran dimuat naik tunangnya, Qistina Liew di Instagram, pada waktu kejadian, Allahyarham Jeremy Mah Ci Wei Abdullah, 26, tidak dapat dihubungi selepas tamat waktu kerja.

Ujar Qistina, dia kemudiannya menjejak telefon tunangnya menerusi aplikasi ‘Find My IPhone’ sebelum mendapati lokasi Allahyarham adalah berdekatan dengan pejabatnya.

“Sesampai saya di sana, saya dapat dia (Jeremy) tidak sedarkan diri dan badannya dalam keadaan sejuk. Hospital anggarkan dia sudah ‘pergi’ kira-kira tujuh ke lapan jam lalu.

“Bagaimanapun, cara saya temui Jeremy adalah Allahyarham dalam keadaan pelik dimana dia terbaring di bahagian penumpang, tingkap buka sedikit dan penghawa dingin kereta juga dihidupkan,” katanya.

Qistina turut memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati Allahyarham sihat dan dipercayai punca kematian bukanlah serangan jantung.

Wanita itu juga berkata sebelum kejadian dia melihat WhatsApps tunangnya itu menerusi WhatsApps Web dan mendapati majikan kepada Jeremy bertanya jika Allahyarham boleh datang ke pejabat pada esoknya, pukul 5 pagi.

“Saya percaya ini juga bukanlah kes rompakan dan polis juga merasa benda yang sama kerana kesemua barang peribadi seperti beg dompet, kad bank, telefon bimbit masih ada dalam kereta walaupun tidak berkunci,” ujarnya.

Buat masa ini, wanita itu berkata pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kematian tunangnya.

Dalam pada itu Qistina berkata, Allahyarham yang memeluk Islam pada 10 Julai lalu sedang dalam perancangan untuk berkahwin dengannya, namun hasrat itu tidak kesampaian.

Katanya, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |