BANGI – Penyanyi Zehra Zambri mendakwa suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin masih culas memberikan nafkah sejak berkahwin lebih tiga tahun lalu sehingga ke hari ini.
Zehra 38, berkata, tanggungjawab kewangan membabitkan penjagaan anak tunggal mereka digalas dirinya sendiri selaku ibu ,sedangkan keperluan tersebut wajar dipenuhi seorang bapa.
“Memanglah anak di bawah tanggunggan saya, tapi saya nak juga dia bertanggungjawab walaupun Allah bagi sedikit rezeki dekat saya untuk tanggung anak.
“Tapi macam sama, selepas jenguk anak sakit dia mendiamkan diri, selepas tak bagi nafkah, apatah lagi cari anak yang baru keluar hospital,” katanya di Mahkamah Rendah Syariah, Hulu Langat, hari ini.
Malah penyanyi Semalakama juga berharap suaminya harus mempunyai rasa tanggungjawab terhadap darah daging sendiri, bukan bersikap lepas tangan.
Jelasnya, disebabkan keadaan yang semakin mendesak memaksanya tampil ke hadapan bagi menuntut hak sewajarnya demi kelangsungan hidup puteri mereka.
“Nafkah anak pun tiada. Sebenarnya dalam tempoh perkahwinan pun banyak yang saya ‘provide’, saya tak minta tuntut nafkah saya pun.
“Tapi bila dah sampai tahap macam ini saya perlulah ke depan untuk minta hak saya yang sepatutnya, dengan melihat pada kemampuannya.
“Cubalah yang mana boleh tapi saya tahulah benda ini agak berat jadi kita perlukan campur tangan perundangan supaya nasib kami, isteri terbela,” ujarnya.
Terdahulu, Zehra yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi tadi ditemani bapanya Zambri Ahmad, teguh dengan pendirian enggan menggugurkan empat daripada lima tuntutan yang dikemukakannya dalam permohonan perceraian.
Antaranya tiada persefahaman suami isteri, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian dan perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.
Pada 7 Mac lalu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ ke atas suaminya selepas mendakwa lebih tiga tahun berusaha mempertahankan rumah tangga mereka.
Zehra dan Nur Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela, 2. – KOSMO! ONLINE