Marquez akhiri badi Litar Red Bull Ring

4 hours ago 2

AUSTRIA – Marc Marquez terus membuktikan dirinya adalah pencabar dunia apabila meraih kemenangan keenam berturut-turut pada Grand Prix (GP) Austria menjadikan keseluruhan kesembilan musim ini dalam karier perlumbaannya yang ke-1,000 dalam kelas perdana.

Lebih manis, kejayaan itu hadir di satu-satunya litar yang belum pernah ditawan juara dunia MotoGP enam kali itu di Litar Red Bull Ring ketika masih bersama Honda, malah sering dikecewakan jentera Ducati sebelum ini.

Namun, sejarah lalu dengan kisah ngeri terutama empat pembedahan pada lengan, masalah penglihatan berganda serta beberapa kali patah tulang antara 2020 hingga 2023, tidak lagi menghantui Marquez selepas beralih ke Ducati.

“Saya selalu tewas dengan jentera merah tapi kini saya menunggang motor merah tersebut hari ini. Saya benar-benar rasa gembira kerana akhirnya melakar kemenangan di litar ini.

“Ibarat saya seperti dilahirkan semula. Ketika saya menang enam kali berturut-turut pada 2014, umur saya ketika itu 21 tahun.

“Kini saya 32 tahun, daripada apa yang telah saya lalui, pencapaian ini sangat luar biasa. Saya hanya mahu menikmatinya dan terus tersenyum,” kata Marquez.

Meskipun bermula dari petak kedua selepas terbabas ketika sesi kelayakan, Marquez tetap tenang dan penuh keyakinan mengekori rapat Marco Bezzecchi selama 19 pusingan sebelum memintas di selekoh pertama.

Berbaki sembilan perlumbaan serta kelebihan 142 mata mengatasi adiknya, Alex Marquez, kejuaraan dunia ketujuh kelihatan hampir menjadi miliknya sekali gus meletakkannya sebaris legenda Valentino Rossi.

Ketika Marquez semakin sukar digugat, rakan sepasukannya di Ducati, Francesco Bagnaia pula terus bergelut mencari rentak.

Juara dunia dua kali itu yang sebelum ini kebal di Austria selama tiga musim berturut-turut kini terperangkap dengan jentera baharu Itali itu apabila menamatkan saingan di tempat kelapan, ketinggalan 197 mata di belakang Marquez. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |