Mangsa tikam baru bertunang, hajat berkahwin tahun ini tidak kesampaian

1 day ago 9

SEREMBAN – Lelaki yang maut ditikam di hadapan rumahnya di Taman Seri Pagi, Senawang, di sini semalam baru sahaja bertunang dengan pilihan hatinya dua minggu lalu.

Adik mangsa, Muhammad Amirul Hakim Mohd. Niza, 27, berkata, sepatutnya malam semalam dia menemani abang sulungnya, Muhammad Amirul Rasyid Mohd. Niza, 28 yang merupakan seorang duda membeli barang hantaran tetapi hajat itu tidak kesampaian.

“Abang telah menduda sejak tiga ke empat tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun.

“Sepatutnya abang akan berkahwin dengan tunangnya yang berasal dari Sendayan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Pagi, di sini hari ini.

Anak kedua daripada 12 beradik itu berkata, ketika kejadian pada pukul 6.40 petang dia sedang lepak bersama abangnya di luar rumah dan ternampak kereta suspek yang diletakkan bersebelahan.

“Saya ingatkan itu kawan abang (arwah), tiba-tiba suspek terus datang ke arah abang dengan sebelah tangannya di belakang dan bertindak menikam dadanya.

“Masa itu saya terus pegang suspek untuk selamatkan abang kerana dia masih memegang sebilah pisau sebelum menjerit memanggil abah, suspek kemudian cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh jiran yang mengikatnya dengan tali ,” katanya.

Jelas Muhammad Amirul, arwah meninggal dunia di pangkuannya dan sempat menyebut perkataan Allah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Masa kejadian semua 12 beradik dan mak ayah berada di rumah. Mak hampir pengsan kerana dia baru sahaja menjalani pembedahan ketumbuhan di otak,” katanya.

Muhammad Amirul Hakim yang begitu rapat dengan arwah amat terkesan dengan pemergian abang sulungnya memandangkan mereka begitu rapat dan sentiasa berdua ke mana-mana.

“Malah 10 minit sebelum kejadian, saya dan arwah baru sahaja pulang berjalan bersama anaknya,” katanya yang memberitahu anak perempuan arwah tinggal bersama di rumah tersebut selepas berpisah dengan bekas isteri.

Jenazah arwah Muhammad Amirul Rasyid yang tiba dari Jabatan Forensik Hospital Rembau telah selesai disolatkan oleh kira-kira 100 orang di Surau Taman Seri Pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest Heights.

Sebelum itu, media melaporkan seorang lelaki maut ditikam dalam kejadian bunuh di perkarangan rumah keluarganya di Taman Sri Pagi, Senawang di sini petang semalam dipercayai berpunca datipada perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 6.50 petang yang mana mangsa berusia 28 tahun telah ditikam oleh seorang suspek lelaki berusia 31 tahun.

Suspek telah direman sehingga 18 Ogos depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |