Malaysia antara negara terbesar pacu industri pelancongan Indonesia sejak rupiah menyusut

1 day ago 14

PETALING JAYA – Malaysia kini menjadi antara negara utama yang menjadi sumber pelancong antarabangsa terbesar ke Indonesia ekoran penyusutan nilai matawang rupiah sejak akhir tahun 2024.

Trend penyusutan tersebut yang berterusan sehingga kini telah membolehkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk bercuti di Indonesia, apatah lagi promosi sedia ada di platform media sosial dengan cara tersendirinya menjadikan ia sebagai sebuah destinasi pilihan pelancongan bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi juga dari seluruh dunia.

Faktor kebudayaan, upacara keagamaan, keramahan penduduk, kecantikan panorama, kepulauan yang cantik, segmen makanan dan minuman yang sedap malah pakej pelancongannya yang murah membuatkan Indonesia kini menjadi tumpuan dunia.

Bersesuaian untuk semua misi pelancongan bersama keluarga, berbulan madu, pertemuan semula rakan sekolah atau kolej dan juga percutian solo, Indonesia menawarkan pengalaman unik dan menarik buat mereka termasuk juga yang berbajet kecil.

Selain itu, faktor ketegangan geopolitik global di luar negara juga telah menyebabkan perubahan minat pelancong tempatan khususnya daripada kelas atasan di rantau Asia Tenggara termasuk Singapura, Malaysia dan Brunei lebih gemar bercuti dengan pengalaman yang lebih selamat di rantau sendiri.

Bersandarkan faktor tersebut, Jumeirah Bali yang merupakan satu-satunya hotel yang dibangunkan oleh Jumeirah Group di pasaran Asia Tenggara telah mendapat manfaat besar daripada trend peralihan modal pelancongan domestik serantau ini.

Ia kini menjadi lubuk pertumbuhan sektor pelancongan premium global buat Kumpulan tersebut yang berpangkalan di Bali, Indonesia.

Pembukaan Jumeirah Bali yang terletak di kawasan seluas 11 hektar di Pecatu, Uluwatu, Bali oleh pemain hospitaliti global terkemuka yang berpangkalan di Dubai itu secara rasminya telah memantapkan portfolio pelaburannya di rantau Asia Tenggara.

Memandangkan, portfolionya yang berpangkalan di Dubai, resort yang memiliki sebanyak 123 villa masih mengekalkan standard sensitiviti budaya dan kualiti perkhidmatan Timur Tengah yang amat serasi dengan pelancong muslim premium dari Malaysia dan juga negara jiran lain.

Sehubungan itu, hidangan menu makanan dan minuman yang enak-enak belaka di restoran terkemuka di resort dapat memenuhi citarasa pengunjung beragama Islam kerana ia mengambil berat tentang sumber bahan haram dan kakitangan hotelnya juga begitu prihatin terhadap isu tersebut.

Resort yang dikelilingi oleh beberapa kategori villa termasuk menghadap taman, pantai atau untuk menikmati keindahan matahari terbenam telah didekorasikan dengan seni bina dalam serta luaran Timur Tengah dan digabungkan dengan budaya Bali, bagi menawarkan kediaman percutian yang besar, sesuai untuk mereka yang berkeluarga.

Setiap premis mempunyai kolam renang tersendiri menambahkan lagi khidmat privasi yang maksimum kepada pengunjungnya ditambah pula dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

Lebih menarik, seni bina yang bertemakan  keagungan Empayar Majapahit dan istana Jawa-Hindu itu juga menyuntik gabungan budaya, persekitaran unik yang membuatkan pengunjung  tidak mahu berganjak keluar daripada resort tersebut.

Segala-galanya indah buat pengunjung sepanjang percutian mereka di resort premium tersebut selain dibayangi dengan taburan ribuan pokok kertas berwarna putih kuning yang terlalu unik termasuk pohon-pohon besar yang dijaga rapi turut menawarkan  persekitaran yang begitu harmoni selain mendapat  layanan mesra kakitangan sekali gus menawarkan estetika berbeza berbanding hotel-hotel mewah Jumeirah di Asia Barat.

Lokasinya yang strategik itu juga menawarkan pengalaman yang begitu berharga buat pengunjungnya ketika menikmati hidangan sarapan, atau makan malam yang menghadap laut lepas di resort tersebut sambil melayan gabungan hempasan ombak di pantai dengan persembahan muzik tradisional Bali yang mengagumkan.

Lebih menarik, resort tersebut bukan sahaja menawarkan pengalaman bersantai di tepi pantai tetapi juga dimuatkan dengan pelbagai aktiviti biasa seperti spa, yoga tetapi juga ia turut menawarkan satu ritual penyembuhan hanya menggunakan bunyi-bunyian di pusat spa. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |