KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sejumlah RM59,350,000 tahun ini kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi berkaitan di bawah Kluster Pembangunan Ummah dalam usaha menyantuni masyarakat memerlukan, khususnya golongan asnaf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, NGO memainkan peranan penting sebagai rakan lapangan yang mampu mendekati komuniti secara langsung dan memahami keperluan sebenar mereka.
Jelasnya, NGO diharapkan mampu menjadi mata dan telinga untuk mencapai sudut-sudut tersembunyi dan ruang yang mungkin sukar didekati oleh MAIWP sendiri.
“Di bawah MAIWP ada Unit Jejak Asnaf yang menjejaki asnaf-asnaf yang memerlukan bantuan, namun di situ ada keterbatasan kerana tidak begitu ramai staf di unit tersebut.
“Untuk memanfaatkan zakat kepada seramai mungkin asnaf yang memerlukan bantuan, kita tak mampu untuk lakukan secara bersendirian dan memerlukan kerjasama dengan pihak NGO dan rakan-rakan strategik.
“Harapan saya, semoga pihak NGO ini akan dapat memanfaatkan peruntukan yang diberikan untuk disampaikan kepada penerima-penerima zakat dalam kalangan asnaf di Wilayah Persekutuan dan mungkin di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama NGO dan Rakan Strategik Tahun 2025 yang berlangsung di Menara MAIWP, Kuala Lumpur semalam.
Sebanyak 50 NGO turut sama memeriahkan majlis tersebut, yang turut dihadiri Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Fauzi Abidin.
Pada tahun 2024, MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM49,307,710 kepada NGO serta institusi, dan agihan kali ini tanda komitmen berterusan bagi membiayai program-program kesejahteraan dan kebajikan asnaf menerusi kerjasama strategik tersebut.
Sehingga 21 Mei 2025, MAIWP telah mengagihkan RM399,231,579 dana zakat menerusi pelbagai skim bantuan menerusi enam kluster utama iaitu Kebajikan, Perlindungan, Ekonomi, Perubatan, Pendidikan dan Pembangunan Ummah, selain program dan inisiatif berterusan dalam membantu kelangsungan dan pembangunan asnaf di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan. – KOSMO! ONLINE