PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad mencatatkan keuntungan pra-cukai sebanyak RM92.62 juta bagi suku pertama (S1) 2025, perubahan positif ketara berbanding kerugian pra-cukai sebanyak RM35.17 juta yang direkodkan pada suku keempat (S4) tahun lalu.
Peningkatan dipacu oleh prestasi lebih baik di kebanyakan sektor perniagaan, didorong oleh jualan yang lebih kukuh dan peningkatan kecekapan kos.
Kumpulan telah mencatatkan hasil sebanyak RM4.11 bilion, penurunan kecil sebanyak lima peratus berbanding RM4.33 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada sektor Automotif, selari dengan penurunan sebanyak tujuh peratus dalam Jumlah Volum Industri.
Walaupun berdepan cabaran di seluruh industri, portfolio perniagaan Kumpulan yang pelbagai kekal sebagai kekuatan utama, dengan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam sektor Perbankan dan Perkhidmatan, sekali gus membantu mengimbangi impak daripada sektor Automotif.
DRB-HICOM dalam kenyataan hari ini berkata, sektor Perbankannya mencatatkan hasil sebanyak RM533.09 juta, meningkat 4.4 peratus berbanding RM510.41 juta pada S1 2024.
“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi, disokong oleh peningkatan bilangan pelanggan serta pertumbuhan yang mampan dalam jumlah pembiayaan.
“Sementara itu, hasil sektor Perkhidmatan meningkat sebanyak lapan peratus kepada RM51.37 juta (S1 2024: RM47.56 juta), dipacu terutamanya oleh peningkatan jumlah pemeriksaan kenderaan komersial di bawah operasi pemeriksaan kenderaan Kumpulan,” katanya.
Mengulas mengenai prospek bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2025, DRB-HICOM berkata, Persatuan Automotif Malaysia menjangkakan TIV yang lebih rendah tahun ini berbanding 2024, berikutan permintaan lebih rendah dalam keadaan prospek global yang lemah, pengurangan tempahan tertunggak, serta potensi kesan rasionalisasi subsidi bahan api.
Sehubungan itu jelasnya, prestasi jualan bagi model-model baharu di bawah jenama Kumpulan adalah bergantung kepada sentimen pasaran dan keadaan ekonomi semasa.
“DRB-HICOM kekal komited dalam meneruskan agenda transformasi digital merentasi sektor utama seperti Perbankan dan perkhidmatan Pos, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi.
“Bagi sektor lain termasuk Aeroangkasa dan Pertahanan, Perkhidmatan serta Hartanah, Kumpulan terus memperkukuhkan asas perniagaan bagi menyokong daya tahan serta kelestarian jangka panjang.
“Kumpulan menjangkakan prospek sederhana bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE