‘Subuh tadi, kali terakhir kejutkan anak solat’

5 hours ago 3

KUANTAN – “Subuh tadi, saya kejutkan dia macam selalu, tetapi rupanya itu kali terakhir saya kejutkan dia solat,” kata Norizan Mat, 48, ibu kepada Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22, yang terlibat dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat berhampiran Masjid Hidayah, Paya Besar di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu turut meragut nyawa rakannya, Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Muhammad Firdaus merupakan pelajar jurusan Syariah Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), manakala rakannya pula pelajar jurusan Diploma Pengajian Quran dan Sunnah di universiti sama.

Kedua-dua mereka juga bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad dan maahad tahfiz Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan dan turut menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Menurut Norizan, pada pagi kejadian, dia hanya sempat mengejutkan anaknya untuk solat subuh, namun tidak sempat bertegur sapa kerana masing-masing tergesa-gesa.

“Malam sebelumnya pun arwah balik lewat, tetapi saya tidak nampak apa-apa tanda pelik, semuanya seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

NORIZAN menunjukkan gambar kenangan Muhammad Firdaus dan keluarga ketika ditemui di Unit Forensik HTAA, hari ini.

Norizan yang merupakan guru di Sekolah Islam Al-Irsyad berkata, anak kedua daripada enam beradik itu seorang yang sangat baik dan tidak pernah melawan kata sejak kecil.

Dalam pada itu, dia berkata ketika menerima khabar duka itu, dia sedang mengajar di sekolah sebelum dimaklumkan oleh pihak sekolah supaya segera ke hospital kerana doktor ingin berjumpa.

Katanya, dia reda dengan pemergian anaknya serta mendoakan agar anaknya ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |