Kerajaan kaji semula Akta Pelantikan Kehakiman – Azalina

7 hours ago 3

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti semula dan menambah baik Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) susulan timbulnya kekeliruan awam berhubung proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, satu jawatankuasa khas melibatkan ahli Parlimen dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pakar perlembagaan, ahli akademik serta Majlis Peguam akan dibentuk bagi mengkaji secara menyeluruh struktur dan tafsiran akta tersebut.

Katanya, Malaysia turut meneliti amalan negara-negara lain seperti United Kingdom, Australia, India dan Singapura yang memiliki pendekatan berbeza dalam urusan pelantikan kehakiman.

“Kami akan menubuhkan jawatankuasa ini dengan penglibatan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, dengan input daripada pakar perlembagaan, profesor serta Majlis Peguam.

“Kita perlu meneliti sama ada kekeliruan ini berpunca daripada peruntukan ayat dalam akta tersebut atau daripada proses pelantikan itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025 di sini hari ini.

Menurut Azalina, walaupun Akta JAC telah wujud sejak 2009 dan menjadi asas kepada pelantikan lima Ketua Hakim Negara, isu ketidaktentuan pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman itu hanya timbul kebelakangan ini.

“Akta ini telah wujud sejak tahun 2009 dan telah menjadi panduan dalam pelantikan lima Ketua Hakim Negara. Ia tidak pernah menjadi isu. Jadi kini kita perlu bertanya, dari mana bermulanya kekeliruan ini?” katanya.

Mengulas sama ada wujud tekanan politik dalam isu pelantikan, Azalina menegaskan, beliau tidak terlibat dalam sebarang proses tersebut dan tidak mempunyai akses kepada dokumen rasmi berkaitan.

“Daripada semua mesyuarat politik yang saya hadiri bersama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, tidak pernah disebut secara khusus mengenai perkara ini.

“Keputusan terletak di tangan Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |