Liga Super: KDA FC, Perak FC kini ‘terkubur’

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Dua kelab, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Perak FC terpaksa melupakan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan kerana tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR).

Badan bebas, First Instance Body (FIB) hari ini mengumumkan bahawa sejumlah 11 kelab Liga Super dan dua pasukan Liga A1 Semi Pro, Melaka FC dan Imigresen FC berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, berkata tiga kelab diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat adalah Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan PDRM FC mengikut artikel 8 (l) MFL CLR.

“FIB hari ini mengumumkan bahawa sejumlah 11 kelab Liga Super dan dua pasukan AFL A1 yang bertanding pada musim 2024-2025 telah berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan sekali gus melayakkan mereka untuk bersaing dalam pertandingan Liga Super bagi musim 2025-2026.

“Lesen Kebangsaan yang diberikan ini sah untuk satu musim sahaja, iaitu bagi musim 2025-2026. KL City, KDN FC dan PDRM FC diberikan lesen kebangsaan oleh FIB dengan ‘sanction’ di mana kelab-kelab itu perlu mengemukakan maklumat kewangan tambahan bagi memenuhi Kriteria Kewangan selewat-lewatnya pada 31 Mei 2025.

“Kegagalan mematuhi ketetapan itu dalam tempoh masa yang ditetapkan boleh menyebabkan lesen kebangsaan KL City FC, KDN FC dan PDRM FC ditarik balik oleh FIB,” katanya.

Lapan kelab Liga Super yang telah diberikan lesen kebangsaan oleh FIB ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT) Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.

Bagi memastikan kelab diberikan lesen, semua pasukan perlu dinilai dan mematuhi enam kriteria utama seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR), iaitu Sukan, Infrastruktur, Personel dan Pentadbiran, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |