JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR memberi amaran keras kepada calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, tindakan itu diambil susulan tindakan Ahli Parlimen Pandan itu mengumumkan senarai penuh ‘cai’ pilihannya membabitkan beberapa jawatan penting parti itu pada pemilihan bermula esok.
Jelasnya, tindakan Menteri Ekonomi tersebut disifatkan bercanggah secara langsung dengan Garis Panduan Pemilihan 2025 yang telah ditetapkan oleh JPP
“JPP akan memberikan amaran dan amaran keras akan diambil kepada pihak-pihak yang terbabit (melanggar garis panduan) dan akan angkat aduan ini kepada Jawatankuasa Disiplin.
“Itu adalah keputusan yang telah dipersetujui Majlis Perwakilan Pusat sekarang ini kita dalam peringkat memberi amaran kepada pihak yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar pada Sesi Taklimah Media Sempena Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Fuziah Salleh, Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim.
Terdahulu, semalam Rafizi dilaporkan mengumumkan senarai ‘chai’ pilihannya membabitkan beberapa jawatan penting parti itu.
Bagi perebutan empat slot Naib Presiden, Rafizi menyenaraikan empat nama yang menjadi pilihannya daripada senarai 12 calon yang mengesahkan bertanding.
Mereka ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G Manivanan.
Walaupun penggunaan ‘chai’ dalam bentuk digital dibenarkan secara terhad, pengumuman terbuka dan agresif Rafizi melalui Facebook memperlihatkan unsur kempen berkumpulan yang dilarang keras.
Dalam pada itu, Zaliha yang juga Menteri Wilayah telah mengarahkan kain rentang calon yang diletakkan di kawasan pusat pemilihan diturunkan.
“Kita telah adakan lawatan di lokasi berlangsungnya kongres, ada beberapa ‘banner’ dinaikkan di kawasan pengundian dan kita telah minta diturunkan
“Calon-calon juga telahdiarahkan mengeluarkan ‘banner’ bahan kempen keluar dari kawasan pengundian,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE