Lelaki maut dikelar rakan serumah

5 hours ago 2

SUBANG JAYA – Seorang lelaki warga asing ditemukan maut akibat dikelar dalam kejadian di sebuah rumah yang dijadikan hostel pekerja di Jalan SS 14, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd. Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.29 pagi daripada seorang lelaki tempatan yang juga majikan mangsa.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa lelaki warga asing berusia 28 tahun telah mati dipercayai dikelar oleh rakan serumahnya.

“Pasukan forensik PDRM dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, siasatan awal mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai hostel oleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pencucian bangunan.

“Empat orang pekerja tinggal di rumah tersebut dan kesemua mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.

Tambah Mohd. Fairus, hasil risikan dan maklumat awam, pihak polis berjaya menahan suspek yang juga lelaki warga asing berusia 29 tahun tidak jauh dari lokasi kejadian pada pukul 8.15 pagi

“Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas. Ujian saringan air kencing terhadap suspek juga dilakukan dan keputusannya negatif,” katanya.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Siti Sarah Johari di talian 013-209 7958 atau IPD Subang Jaya di 03-7862 7222. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |