KLUANG – Tindakan seorang lelaki warga asing dipercayai warga Indonesia menyerang menggunakan parang membawa padah selepas ditembak mati dalam kejadian di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Palembang di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 3.45 pagi itu bermula selepas seorang lelaki dikesan dalam keadaan mencurigakan dengan menunggang sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran di kawasan kampung terbabit.
Katanya, pasukan daripada Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor kemudiannya mengekori rapat motosikal yang ditunggang laju sebelum berjaya dipintas di jalan tidak berturap menghala ke kebun kelapa sawit di kampung tersebut..
“Semasa menghampiri kenderaan dinaiki suspek, secara tiba-tiba suspek menyerang dengan cara melibaskan parang sehingga mengenai lengan salah seorang anggota pasukan serbuan.
“Polis mengarahkan suspek memberikan kerjasama dan menyerah diri namun terus bertindak agresif dan menyerang polis secara bertubi-tubi menyebabkan tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri dan keselamatan awam,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, identiti sebenar suspek masih belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri yang sah dijumpai bersamanya.
Ujarnya, polis berjaya merampas sebilah parang, wang tunai RM1,900, dua unit telefon bimbit milik mangsa samun dan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dilaporkan hilang di Kulai.
“Hasil maklumat dan risikan, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah samun sejak 2024 dan kejayaan ini dipercayai dapat menyelesaikan enam kes samun dengan lima daripadanya di Kluang dan satu di Kota Tinggi.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan laporan mati mengejut (SDR), siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti dan mengesan rakan sejenayah,”katanya.-KOSMO! ONLINE