Keupayaan industri pertahanan tempatan diyakini

6 hours ago 4

LANGKAWI – Kerajaan membuktikan keyakinan dan sokongan berterusan kepada pemain industri pertahanan tempatan dengan menggunakan keupayaan golongan itu dalam memberi pelbagai bentuk perkhidmatan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perjanjian strategik yang ditandatangani membabitkan pemain industri pertahanan tempatan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) adalah melebihi RM4 bilion.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan yang dibuat menerusi perjanjian pada LIMA’25 antaranya untuk meningkatkan dorongan terhadap pembangunan industri pertahanan tempatan serta pembangunan kapasiti.

“Perkara ini dilakukan dengan memberi peluang kepada pelbagai syarikat tempatan menggunakan keupayaan sedia ada untuk memberikan pelbagai bentuk perkhidmatan kepada ATM.

“Kesemua ini merupakan satu cerminan keyakinan dan sokongan berterusan kerajaan kepada pemain industri pertahanan tempatan yang diharap akan membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada pihak luar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Kontrak dan MoU Kementerian Pertahanan (Mindef) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

Kata beliau, antara kontrak yang telah dimeterai termasuk penyelenggaraan dan pembaikan Kapal Selam Kelas Perdana Menteri kepada BHIC Submarine Engineering Services Sdn. Bhd. (BSES) dan kontrak sewaan empat helikopter tambahan berkeupayaan siang dan malam kepada Weststar Aviation Services Sdn. Bhd.

“Selain itu, kontrak perolehan stok apungan tambahan bagi enjin TP400-D6 dan ‘low pressure turbine’ pesawat A400M kepada Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA) dan kontrak perkhidmatan senggaraan dan pembekalan alat ganti pesawat Helikopter EC725 kepada BHIC Aeroservices Sdn. Bhd. (BHICAS),” ujarnya.

Menurutnya, kontrak lain adalah bagi Program Pengekalan Pesawat Pejuang F/A-18D kepada G7 Global Aerospace, kontrak perolehan selenggaraan, pembekalan dan penghantaran alat ganti serta latihan bagi Satelit X-Band kegunaan ATM kepada AR Eastern Sdn. Bhd.

“Terdapat juga kontrak selenggaran bagi Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 kepada Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd.; Perkhidmatan Pasang Pulih (Refit) KD Jerai Kepada Grade One Marine Shipyard Sdn. Bhd..

“Penggantian Sistem Pengurusan Trafik Udara Pangkalan Udara Butterworth Kepada Zetro Services dan Surat Niat Kepada Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. bagi Perolehan ‘Integrated Logistic Support And Trial Aids’ (ILS & TA) Kapal Tempur Pesisir (LCS),” jelasnya.

Mohamed Khaled berkata, matlamat lain perolehan yang dibuat pada LIMA edisi ini sudah semestinya bagi meningkatkan kesiagaan aset pada tahap yang tertinggi bagi memperkukuhkan kedaulatan wilayah.

“Ia antara lain Surat Niat kepada Mildef International Technologies Sdn. Bhd. bagi permohonan perolehan 136 unit Kenderaan Perisai Jenis A (KJA) dan Infrastruktur yang bernilai RM1.88 bilion dan kontrak penambahan dua Long Range Radar (LRR) di Bukit Peteri, Terengganu serta Bukit Lunchu, Johor bernilai RM277 juta

“Kontrak perolehan melibatkan 178 buah Light Anti-Tank Weapon Reloadable (LATW)-Short Range bernilai RM49 juta; kontrak membekal dan menghantar 780 butir Light Anti-Tank Weapon (LAW) C90 bernilai RM35 juta,” katanya.

Tambahnya, selain pembelian aset baharu, pemerkasaan keupayaan ATM juga turut dilakukan dengan memastikan aset sentiasa berada dalam keadaan yang baik melalui peningkatan keupayaan aset sedia ada.

“Matlamat lain adalah menangani ancaman bukan tradisional melalui pengukuhan keselamatan siber negara dan teknologi telekomunikasi, mengutamakan pembangunan dan penyelidikan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta menekankan aspek kesejahteraan, misalnya pembinaan baharu Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka bernilai RM320 juta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |