MELAKA- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengesan elemen vandalisme berkaitan isu alat pemadam kebakaran dan sistem gelung hos yang tidak berfungsi dalam tragedi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Jumaat minggu lalu.
Pengarah JBPM, Mohd. Zaidi Ma’at berkata, hasil pemeriksaan di kawasan perumahan itu mendapati kebanyakan alat pemadam kebakaran menunjukkan tekanan tidak mencukupi dan gelung hos telah rosak.
“Kita menerima laporan beberapa sistem kebombaan tidak berada dalam keadaan baik dan hasil pemeriksaan kita dapati ada elemen vandalisme.
“Kebanyakan alat pemadam api di Blok A berada dalam keadaan merah, kita percaya gas dia telah keluar dan gelung hos rosak,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran JBPM Melaka 2025 di sebuah resort di sini, hari ini.
Jelasnya, sekiranya alat pemadam kebakaran itu berada dalam keadaan baik, ia seharusnya dapat mengurangkan pemerebakan api yang mengambil masa kira-kira empat minit untuk menjadi marak.
“Gelung hos ini penting untuk penduduk ambil tindakan dalam dua minit terawal kerana pasukan bomba ini akan tiba selepas menerima panggilan kecemasan dan mengambil masa kurang 10 minit untuk sampai ke lokasi.
“Api kebakaran ini pula hanya ambil masa empat minit untuk menjadi besar dan menyebabkan kematian,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya siasatan akan dilakukan secara menyeluruh.
“Saya tidak ingin mengatakan kerosakan ini berlaku kerana vandalisme, pihak pengurusan kerajaan negeri juga sudah tentu ada bahagian yang perlu diperbaiki termasuklah prosedur operasi standard jelas mengenai pemeriksaan dilakukan dan sebagainya.
“Dalam masa terdekat ini saya akan mengadakan mesyuarat bersama Lembaga Perumahan Melaka untuk melihat struktur yang terlibat dalam tragedi ini,” katanya.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Muhammad Afizul Hakim Alias maut dalam Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2.20 petang itu di PPR Krubong.
Susulan kejadian itu, ibu mangsa, Siti Zaharah Borhan, 43, turut meluahkan rasa kecewa apabila alat pemadam kebakaran dan gelung hos yang terletak kurang tiga meter dari rumahnya tidak dapat digunakan ekoran rosak.- KOSMO! ONLINE