Aiman tunggu keputusan mahkamah sama ada rujuk Siti Jamumall

5 hours ago 2

SHAH ALAM – Kelewatan pempengaruh Khairul Aiman Abdul Kudus, 26, menfailkan tuntutan pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Siti Suriani Wahiddin, 26, atau Siti Jamumall pada saat akhir adalah disebabkan mengumpul dana bagi melantik peguam.

Berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan sesuatu tuntutan lafaz cerai itu perlu dilakukan dalam tempoh seminggu.

Pada 15 Mei lalu, Khairul Aiman atau lebih dikenali Aiman Tak Kesah dikatakan telah melafazkan cerai sebanyak tiga kali secara langsung menerusi siaran di aplikasi TikTok Siti Jamumall.

Khairul Aiman berkata, beliau tidak mahu perkara itu menjadi lebih keruh dan mengeluarkan kenyataan yang merumitkan lagi keadaan dengan Siti Jamumall.

“Saya lambat fail sebab mahu cari dana lantik peguam. Sama ada rujuk atau tidak, kita tengok keadaan dan tunggu apa yang diputuskan mahkamah nanti,” katanya ketika ditemui di pekarangan lobi kompleks Mahkamah Syariah di sini hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini, menetapkan 21 Julai depan bagi sebutan kes tuntutan berkaitan lafaz cerai yang tular pada 15 Mei lalu.

Jelas Khairul Aiman, dia telah seminggu tidak menemui Siti Suriani sejak insiden berkenaan.

“Satu atau dua hari lalu kami ada berbual singkat kerana saya mahu membawanya pergi ke klinik. Sejak seminggu ini, saya tinggal di tempat lain dan melakukan kerja saya,” ujarnya.

Tambah beliau, dia turut bersyukur kerana ujian air kencing ke atasnya didapati negatif dadah selepas membuat ujian di klinik bagi mengelak persepsi buruk pelbagai pihak mengenai dirinya.

“Tujuan saya mahu mempertahankan diri dan keputusan lima jenis dadah ke atas saya didapati negatif,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan melafazkan cerai itu sebagai taktik ‘marketing’ (pemasaran), beliau berkata, ia perlu ditanya kepada Siti Suriani.

“Pada waktu itu, saya penat dan baru pulang bekerja. Saya akui agak tertekan. Adakah saya dijaddikan sebagai gimik atau tidak, itu perlu ditanya kepada Siti kerana dia yang membuat siaran ‘live’ berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |