SEPANG – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau tidak pasti sama ada boleh menerima anak lelakinya berpakaian wanita, memakai aksesori dan mekap tebal dalam video muzik hari raya.
Dalam prosiding bicara bela diri hari ini, beliau turut mempersoalkan pihak pendakwaan yang mengajukan soalan lanjut yang menyentuh ahli keluarganya.
“Saya tak faham, apa kena mengena (soalan ini) dengan anak saya? ujar Aliff Syukri ketika ditanya pada sesi pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai penghasilan video muzik tersebut, Aliff Syukri memberitahu perbelanjaan video muzik ‘Kelepok Raya’ adalah sumber dana dari syarikatnya.
Aliff berkata pada masa sama beliau juga boleh membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak untuk membuat video muzik tersebut yang dimuatnaik pada April 2022.
“Untuk lagu ini yang buat keputusan adalah team management content (pasukan pengurusan kandungan) dan juga saya. Kos keluar dana dan belanjawan video klip ini dibiayai company (syarikat) saya, D’herbs,” katanya lagi.
Pada masa sama, ketika ditanya mengenai tarian, pakaian dan solekan yang terdapat dalam video muzik itu, beliau menafikan dia yang memilih dan menentukannya.
Sebelum ini, Alif dalam pernyataan saksi bela dirinya memberitahu video muzik Kelepok Raya bukan bertujuan menyokong atau mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam mana-mana laman media sosial miliknya.
Aliff Syukri turut menegaskan, beliau tidak akan membuat perkara yang menjadi contoh tidak baik kepada keluarga seperti mempromosikan LGBT yang ditohmah terhadapnya.
Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin manakala Aliff Syukri diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman bersambung lagi 3 Julai ini. – KOSMO! ONLINE