UPNM meterai lima perjanjian kerjasama sempena LIMA’25

5 hours ago 2

LANGKAWI – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memeterai lima perjanjian kerjasama utama bersama rakan industri tempatan dan antarabangsa sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, perjanjian tersebut adalah seiring dengan pelaksanaan agenda strategik UPNM30.

“Perjanjian ini mencerminkan komitmen UPNM sebagai rakan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melahirkan modal insan berkompeten dan memperkasa inovasi teknologi ketenteraan.

“Ini sejajar dengan dua teras utama UPNM30 iaitu kesarjanaan dan pusat kecemerlangan,” katanya di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

Perjanjian pertama melibatkan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Prisma Khas Sdn. Bhd. bernilai RM180,000 yang melaksanakan projek penyelidikan AI-Driven Statistical Insights and Analysis Using Machine Learning for Effective Digital Forensics Evidence Management selama dua tahun.

Selain itu, UPNM turut menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) selama dua tahun dengan Westar Aviations Services Sdn. Bhd., Airod Sdn. Bhd., dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Jelasnya, kerjasama bersama Westar akan ditumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam latihan penerbangan, pensijilan serta sistem berkaitan di samping pembangunan modul latihan berdasarkan piawaian industri dan sistem pensijilan yang komprehensif.

Tambahnya, UPNM akan membangunkan sistem Aircraft Structural Integrity (ASI) dengan Airod selama tiga tahun yang turut melibatkan aspek ketahanan dan analisis struktur pesawat.

Di samping itu, UPNM turut menandatangani MoU dengan STRIDE selama lima tahun bagi penganjuran penyelidikan, syarahan, dan persidangan dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Seterusnya Perjanjian Kerahsian (NDA) selama lima tahun dengan KNDS membuka peluang kepada UPNM untuk meneroka kolaborasi dalam pembangunan industri pertahanan khususnya dalam sistem persenjataan seperti Towed Light Gun dengan syarikat pertahanan berprestij dari Perancis itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |