BANGI – Menangkis tuduhan, suami kepada penyanyi Zehra Zambri, Nur Mohd. Iqwan Samsudin, menafikan dakwaan mengabaikan anak tunggal mereka yang baru berusia dua tahun, Zahiyah Iqleela.
Iqwan, 42, berkata, kebajikan puteri mereka, Zahiyah Iqleela, sentiasa menjadi keutamaan namun dakwanya dia berdepan kesukaran berhubung kerana nombor telefonnya disekat Zehra.
“Saya ini memang agak sibuk dengan kerja tapi apabila tanya khabar anak, saya nyatakan juga hasrat nak berjumpa.
“Macam mana nak berjumpa kalau Zehra ‘blocked’ nombor saya, mungkin jika dia boleh ‘unblock’ saya dapatlah bercakap dengan anak,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, tengah hari tadi.
Menurut kakitangan sebuah stesen penyiaran itu, sebagai ayah tentu sahaja dia merindui permata hatinya itu.
“Saya sangat rindu anak. Semoga Allah memudahkan urusan saya untuk jaga keperluannya.
Iqwan juga terkilan apabila dituduh menjenguk anak di hospital untuk konten media sosial sedangkan kedatangan ke hospital Julai lalu adalah untuk melepaskan rindu.
“Saya tunggu sahaja permintaan maaf dari dia kerana membuat dakwaan sedemikian. Kalau dia enggan (minta maaf), tidak mengapalah, tiada paksaan.
“Mengenai tuduhan saya ini ghaib dan tidak memberi maklum balas apabila dihubungi, bukan begitu sebenarnya. Saya ada sahaja, boleh dihubungi pada bila-bila masa di tempat kerja, mahupun di rumah,” katanya.
Sebelum ini, Zehra mendakwa suaminya gagal memberikan nafkah sepanjang hampir empat tahun perkahwinan mereka.
Menurut penyanyi itu, tanggungjawab kewangan terhadap anak digalas penuh dirinya apabila Iqwan didakwa tidak menjalankan tanggungjawab itu.
Zahiyah Iqleela adalah anak tunggal hasil perkahwinan Zehra dan Iqwan yang berkahwin pada 10 November 2021. – KOSMO! ONLINE