KUALA LUMPUR – Malaysia menetapkan lima teras utama sebagai landasan membangunkan negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) bagi memacu Ekonomi Madani dan memastikan manfaat teknologi dinikmati seluruh rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lima teras itu merangkumi dasar berpandangan jauh, tenaga kerja tangkas dan celik digital, infrastruktur digital yang selamat serta boleh dipercayai, pengukuhan kepercayaan digital, dan pelaburan strategik yang memacu ekosistem AI melalui kerjasama awam-swasta serta kolaborasi global.
Beliau berkata, pendekatan itu akan memastikan teknologi AI dibangunkan secara canggih, inklusif, dipercayai dan berfungsi untuk tujuan yang memberi impak positif kepada kehidupan rakyat.
“Rantau ASEAN kini berdepan peluang generasi untuk membentuk penggunaan AI yang inklusif, beretika dan sejajar dengan nilai bersama, sambil merapatkan jurang digital tanpa menjejaskan tradisi serta nilai moral.
“Dengan hampir 700 juta penduduk, ekonomi yang pesat berkembang serta kepelbagaian budaya dan bahasa, ASEAN berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan AI bagi merapatkan jurang pembangunan, memperkasakan perusahaan kecil, memajukan komuniti luar bandar, mengukuhkan perkhidmatan awam serta memperluas akses kepada kesihatan dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran ASEAN AI Summit di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan tentang jurang digital yang bukan sahaja wujud antara negara maju dan membangun, tetapi di dalam negara sendiri iaitu antara kawasan bandar dan luar bandar atau golongan kaya dan miskin.
“Tanpa intervensi, jurang itu akan memberi kesan besar terhadap pembangunan negara.
“Justeru, saya memuji pendekatan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, yang menggalakkan pihak industri tampil menyatakan rancangan serta tindakan mereka, kerana pengumuman dasar sahaja tidak mencukupi tanpa bukti kesungguhan dan perubahan nyata,” katanya.
Dalam pada itu, Gobind ketika berucap berkata, kesiapsiagaan rakyat terhadap AI bukan sekadar memahami dan menggunakannya, tetapi juga memastikan akses kepada teknologi tersebut adalah inklusif.
“Sidang kemuncak ini penting kerana ia mengumpulkan idea, pandangan dan perbincangan yang mesti diterjemahkan kepada tindakan nyata.
“Kita mahu membina dasar, strategi, dan ekosistem yang dapat menyediakan negara, rantau dan dunia bagi teknologi digital masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE