Lima pegawai kanan ATM, dua wartawan direman kes rasuah penyeludupan

2 hours ago 5

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan agensi media dalam talian ekoran disyaki terlibat sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air.

Turut direman ialah seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA) serta wanita warga asing.

Empat suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos, dua lelaki dan seorang wanita direman selama lima hari sehingga 18 Ogos, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman selama tiga hari sehingga 16 Ogos depan.

Tambahan dua suspek lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman selama tiga hari sehingga esok.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun itu ditangkap di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu.

“Pegawai-pegawai kanan perisikan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan.

“Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah serta rokok dan barang-barang lain dari negara-negara jiran yang melibatkan nilai barangan seludup kira-kira RM5 juta sebulan,” katanya hari ini.

Sumber berkata, hasil risikan yang dijalankan selama 12 bulan mendapati, sindiket itu dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai-pegawai kanan tentera setiap kali menyeludup masuk barangan terlibat.

Katanya, rangkaian penglibatan pegawai-pegawai kanan tentera terbabit di dalam sindiket tersebut adalah besar serta kompleks.

Menurutnya, dalam operasi itu, SPRM turut menemui sejumlah wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata api tiruan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan berkenaan dan berkata, kes disiasat berkaitan jenayah rasuah dan aktiviti penggubahan wang haram. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |