
- Oleh NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
- 13 Ogos 2025, 11:22 pm
KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) nyaris tewas sebelum bangkit di penghujung permainan untuk mengutip satu mata berharga selepas mengikat PDRM FC 2-2 dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Zainal Abidin, di sini malam ini.
Pelawat yang bermula garang terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-12 menerusi jaringan Doumbia Henri yang pantas menyambar hantaran lintang Mohd Safiee Ahmad.
Bersambung babak kedua, bantuan video pengadil (VAR) memberi kelebihan buat skuad The Cops selepas percubaan Henri pada minit ke-53 mudah memperdaya Suhaimi Husin.
Asakan berganda skuad Sang Penyu nampaknya membuahkan hasil selepas hantaran Yan Mabella mudah disudahkan Azam Azmi Murad pada minit ke-62 untuk jaringan pertama tuan rumah.
Usaha gigih anak buah Badrul Afzan Razali akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-89 apabila Mabella tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas bola hantaran Baqiuddin Shamsudin terkena tangan Safiee di dalam kotak penalti, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata. – KOSMO! ONLINE