
- Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI
- 13 Ogos 2025, 11:16 pm
KUALA LUMPUR – Pasukan Sabah FC melakar kebangkitan dramatik selepas mengikat Kuala Lumpur City (KL City) 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The City Boys yang masih segar dengan kemenangan ke atas Imigresen FC membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diketuai Kpah Sherman, Safawi Rasid dan Fazrul Amir Md Zaman.
Sabah yang mengharungi perlawanan liga buat kali pertama musim ini mempamerkan aksi lebih baik dengan menguasai sebahagian besar saingan tetapi kedudukan 0-0 berakhir pada babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, nasib tidak menyebelahi Sang Badak selepas diarahkan beraksi dengan 10 pemain apabila tonggak import, Dean Pelekanos dilayangkan kad merah selepas pengadil meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR).
Kesempatan itu digunakan oleh skuad tuan rumah untuk mendominasi saingan sehingga memberi tekanan buat pelawat untuk menjaringkan gol ke gawang sendiri yang dilakukan oleh Dane Ingham pada minit ke-65.
Ketinggalan 0-1 tidak menghalang Sabah FC untuk melakukan kebangkitan apabila Gabriel Peres menanduk gol penyamaan pada masa kecederaan untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata berharga. – KOSMO! ONLINE