
- Oleh ASLIZA MUSA
- 9 Ogos 2025, 11:36 pm
PARIT – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), Azli Idris, 63, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Pekan Lambor Kanan, Seri Iskandar di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat nahas itu pada pukul 8.52 malam.
Katanya, kemalangan melibatkan motosikal roda tiga jenis Honda EX-5 yang terbabas masuk dalam longkang dengan mangsa ditimpa kenderaan berkenaan.
“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa dibawa keluar dari longkang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE