PETALING JAYA – Lawatan Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh bukan sekadar memperkukuh persahabatan dua negara, tetapi juga membuka lembaran baharu kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan Bangladesh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya hubungan akrab Malaysia dan Bangladesh akan terus terjalin berteraskan hormat, kepercayaan, dan komitmen jitu untuk membawa kemajuan bersama, bukan sahaja demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, malah demi keamanan, kestabilan, dan kemakmuran rantau ini.
“Pagi tadi saya meraikan ketibaan sahabat baik saya yang juga Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh, Profesor Dr. Muhammad Yunus Chief Adviser GOB yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.
“Dr Muhammad Yunus dan delegasi diberi sambutan rasmi termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Beliau berkata, usai sambutan rasmi, beliau dan Dr Muhammad Yunus telah mengetuai delegasi masing-masing dalam sesi mesyuarat dua hala serta pertemuan tertutup yang berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif.
“Kami kemudiannya mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang penuh makna, bagi menilai kemajuan hubungan Malaysia dan Bangladesh selain meneroka bentuk kerjasama baharu yang dapat memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.
“Perbincangan mencakupi pelbagai bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pelancongan, pertahanan, serta pengukuhan kerjasama dalam ekosistem halal dan pertukaran budaya,” katanya.
Katanya beliau juga menzahirkan penghargaan atas sokongan konsisten Bangladesh terhadap isu-isu kemanusiaan, khususnya terkait pelarian Rohingya.
“Kami turut menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting yang bakal membuka lembaran baharu hubungan dua hala, merangkumi bidang pertahanan, ekosistem halal, gas asli cecair (LNG), pendidikan tinggi, serta kerjasama strategik antara institusi penyelidikan dan komuniti perniagaan kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE