KUALA LUMPUR – Aksi sukar menanti perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis bermula 25 hingga 31 Ogos ini selepas berehat hampir lima bulan.
Misi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu dianggap cukup mencabar apabila pemain-pemain ternama dijangka menantinya dalam laluan untuk melangkah ke perlawanan akhir nanti.
Zii Jia diundi bertemu pemain No.1 Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin di pusingan pertama dan dia dijangka berdepan pilihan keempat dari China, Li Shi Feng jika berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua.
Cabarannya tidak terhenti di situ apabila dia perlu melepasi halangan seorang lagi pemain China, iaitu Lu Guang Zu sekiranya mahu meneruskan kemaraan ke suku akhir di mana dia dijangka berdepan Kodai Naraoka dari Jepun.

Sekiranya saingan berlangsung seperti yang dijangka, pemenang dua pingat emas Sukan Asia dari China, Shi Yu Qi bakal menanti Zii Jia di separuh akhir bagi menentukan kemaraan ke pentas final.
Seorang lagi wakil negara dalam perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk melepasi pusingan pertama apabila diundi bertemu pemain Switzerland, Tobias Kuenzi.
Bagi acara perseorangan wanita, K. Letshanaa akan berdepan Saloni Samirbhai Mehta dari Hong Kong manakala Goh Jin Wei bertemu pilihan ke-14 dari China, Gao Fang Jie.
Sementara itu, tiga beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mendapat ‘bye’ manakala Arif Junaidi-Yap Roy King akan bertemu Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dari Jepun.
Turut mendapat ‘bye’ ke pusingan kedua adalah dua beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing serta tiga beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin. – KOSMO! ONLINE