KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial kepada Ketua Penasihat Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus, sempena konvokesyen khas yang berlangsung hari ini.
Penganugerahan itu disempurnakan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Auditorium Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM di sini, hari ini.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas dedikasi luar biasa Muhammad Yunus dalam memacu pembangunan sosial dan membawa perubahan besar kepada Republik Rakyat Bangladesh.
“Profesor Dr. Muhammad Yunus merupakan teladan kepimpinan transformasi berteraskan integriti, tadbir urus baik serta keyakinan bahawa ekonomi hanya kukuh apabila memenuhi keperluan semua pihak.
“Usaha ini bukan sahaja diiktiraf rakyat Bangladesh, malah komuniti antarabangsa sehingga beliau menerima Hadiah Keamanan Nobel pada 2006,” katanya.
Hubungan Muhammad Yunus dengan UKM turut diperkukuh melalui penubuhan Yunus Centre for Social Business di universiti itu, yang berperanan mempromosi konsep perniagaan sosial di Malaysia dan rantau ini.
Beliau merupakan seorang tokoh ekonomi dan kemanusiaan bertaraf dunia, terkenal sebagai pengasas Grameen Bank dan pelopor konsep mikro kredit serta perniagaan sosial.
Pada masa sama, Muhammad Yunus telah menerima 67 ijazah kehormat dari universiti di 26 buah negara, dan telah muncul di muka depan majalah TIME, Newsweek dan Forbes.
Beliau juga dinamakan oleh majalah Fortune sebagai salah seorang usahawan terhebat sepanjang zaman pada tahun 2012.
Muhammad Yunus merupakan penulis kepada buku-buku terlaris seperti Banker to the Poor dan Building Social Business.
Pada tahun 2024, beliau dilantik sebagai Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh bagi memimpin reformasi institusi, demokrasi dan ekonomi negara tersebut. – KOSMO! ONLINE