Kerajaan Melaka digesa tangani isu pendapatan, emosi rakyat

2 days ago 14

MELAKA – Kerajaan negeri ini digesa untuk memfokuskan isu pendapatan dan emosi rakyat susulan dapatan Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, laporan itu menunjukkan dua komponen tersebut mencatatkan skor rendah berbanding aspek lain dalam indeks berkenaan.

“Kalau kita tengok dalam laporan pendapatan, skor 5.75 itu sederhana bahagia dan komponen ini merekodkan skor terendah berbanding komponen lain.

“Jadi saya harap kerajaan negeri akan dapat berikan tumpuan kepada isu ini dalam pembentangan Belanjawan 2026 Negeri Melaka akan datang, pastikan ada sistem (mekanisme) yang baik untuk meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan barisan kepimpinan MPN Melaka sesi 2025-2028 di Pejabat Madani, Bukit Piatu di sini, hari ini.

Terdahulu, berdasarkan laporan tersebut, 12 komponen utama termasuk keagamaan, kerohanian dan keselamatan awam berada pada tahap bahagia dan sangat bahagia dengan skor antara 6.59 hingga 8.99 dan hanya satu komponen iaitu pendapatan mencatat tahap sederhana bahagia.

Ujar Shamsul, tumpuan boleh diberikan melalui pelbagai inisiatif termasuk program peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan baharu dalam bidang teknologi hijau.

Mengulas lanjut beliau berkata, aspek emosi juga perlu diberikan penekanan apabila Melaka merekodkan skor sekitar 6.39 sahaja, iaitu skor kedua terendah selepas pendapatan.

“Ini juga pada saya perlu diberikan tumpuan kerana skor kita di tahap rendah, jadi kita tahu program kesediaan mental sangat penting bagi rakyat.

“Sudah pasti kita harapkan kerajaan negeri boleh menyediakan akses kepada kaunseling komuniti, memperluaskan kempen kesedaran stres dan menyediakan lebih banyak ruang rekreasi awam,” ujarnya.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan rakyat Melaka benar-benar merasai kebahagiaan secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi juga kesejahteraan emosi.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai komponen budaya yang merekodkan skor sederhana 6.86, sekali gus menunjukkan penglibatan rakyat dalam seni dan aktiviti budaya masih rendah meskipun Melaka kaya dengan nilai warisan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |