Kepulangan dua pemain suntik semangat Spurs

1 day ago 6

LONDON – Tottenham Hotspur mendapat suntikan semangat baharu apabila dua pemain utama kembali pulih daripada kecederaan menjelang aksi Piala Super Eropah menentang Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi esok.

Kepulangan Dominic Solanke dan Destiny Udogie menghadirkan keceriaan dalam kem Spurs terutamanya selepas mereka kehilangan James Maddison yang mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Pengurus Spurs, Thomas Frank tentunya mampu menarik nafas lega dengan berita tersebut memandangkan pasukan kendaliannya juga berkemungkinan turun tanpa Dejan Kulusevski yang masih belum cergas sepenuhnya.

Meskipun belum pasti diturunkan atau tidak, namun Frank tetap mengambil keputusan menyenaraikan Solanke dan Udogie dalam 22 nama pemain yang akan ke Udine, Itali untuk aksi di Stadium Bluenergy nanti.

Solanke terlepas kesemua perlawanan pramusim Spurs termasuk kemenangan 1-0 ke atas Arsenal di Hong Kong disebabkan kecederaan buku lali.

Namun, Frank dikatakan sanggup mengambil risiko menurunkan Solanke berbanding mengharapkan Richarlison yang gagal beraksi pada tahap sebenar dalam semua aksi persahabatan setakat ini.

Sekiranya berjaya menewaskan PSG, ia bakal menjadi trofi pertama buat Frank selepas dilantik menggantikan Ange Postecoglou yang dipecat hujung musim lalu meskipun menjuarai Liga Konferens Europa.

Berdasarkan kekuatan kedua-dua pasukan, Spurs dilihat bukan lawan sebenar buat PSG yang mara ke perlawanan itu sebagai pemenang Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun, Spurs tetap memiliki kemampuan tersendiri terutamanya di barisan pertahanan mereka yang dilihat semakin ampuh sejak diambil alih oleh Frank.

Dua bek tengah, Cristian Romero dan Mickey van de Ven bakal menggalas peranan penting untuk mengikat trio serangan berbahaya PSG diketuai Ousmane Dembele, Desire Doue serta Khvicha Kvaratskhelia. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |